Harga cabut gigi di klinik swasta selalunya lebih tinggi berbanding di klinik kerajaan. Namun, ramai yang tetap memilih klinik swasta kerana prosesnya lebih cepat dan tidak perlu menunggu lama.
JIka di klinik kerajaan, anda mungkin perlu beratur awal pagi atau menunggu giliran yang panjang, tapi di klinik swasta pula kebanyakannya telah mempunyai sistem tempahan secara online yang membuatkan anda tidak perlu tunggu lama.
Dalam artikel ini, kami akan berkongsi anggaran harga cabut gigi dan faktor yang mempengaruhinya, prosedur serta sebab kenapa gigi perlu dicabut.
Apa Itu Cabut Gigi
Cabut gigi ialah prosedur pergigian yang melibatkan pengeluaran gigi dari soketnya di tulang rahang. Ia boleh dilakukan secara mudah atau melalui pembedahan bergantung kepada keadaan gigi yang perlu dicabut dan pemilihan cabutan gigi ini akan mempengaruhi harga cabut gigi.
Punca Cabut Gigi
Cabut gigi bukanlah pilihan utama dalam rawatan pergigian, tetapi dalam sesetengah keadaan, ia menjadi langkah terbaik untuk mengelakkan masalah yang lebih serius. Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa gigi perlu dicabut:
Karies gigi
Karies atau gigi berlubang berlaku apabila lapisan enamel gigi semakin haus akibat serangan bakteria dan asid. Jika tidak dirawat lebih awal, kerosakan boleh merebak hingga ke akar gigi. Dalam kes yang teruk, tampalan atau rawatan akar mungkin tidak lagi berkesan.
Oleh itu, doktor akan mencadangkan cabutan gigi bagi mengelakkan jangkitan lebih serius yang boleh menjejaskan gigi dan tisu di sekelilingnya.
Penyakit gusi lanjutan (Periodontitis)
Penyakit gusi yang kronik boleh menyebabkan tisu gusi dan tulang soket gigi menjadi lemah, menyebabkan gigi longgar dan goyang. Jika keadaan ini berlarutan tanpa rawatan, gigi akhirnya tidak dapat diselamatkan dan perlu dicabut bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk, seperti kehilangan tulang rahang atau penyebaran jangkitan ke bahagian lain dalam mulut.
Gigi bongsu terjejas
Gigi geraham bongsu biasanya tumbuh pada usia lewat remaja atau awal dewasa. Namun, dalam banyak kes, gigi ini tidak tumbuh dengan sempurna atau terbenam ke dalam gusi. Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan, bengkak, jangkitan, atau tekanan terhadap gigi yang bersebelahan.
Jika gigi bongsu menyebabkan ketidakselesaan atau berisiko menjejaskan kesihatan mulut, cabutan gigi adalah penyelesaian yang terbaik. Namun harga cabut gigi bongsu adalah agak mahal berbanding harga cabut gigi biasa disebabkan faktor kesukaran dan kedudukan gigi tersebut.
Baca Juga: Prosedur & Harga Cabut Gigi Bongsu (Klinik Kerajaan & Swasta)
Jangkitan
Jangkitan pada akar gigi biasanya berlaku apabila bakteria menembusi hingga ke bahagian dalam gigi (pulpa). Jika tidak dirawat, jangkitan boleh merebak ke kawasan lain dalam mulut atau ke bahagian tubuh yang lebih jauh melalui aliran darah. Dalam keadaan ini, cabut gigi adalah pilihan terbaik baik mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Tujuan Rawatan Ortodontik
Bagi individu yang menjalani rawatan ortodontik seperti pemakaian pendakap gigi (braces), doktor mungkin mencadangkan gigi tertentu untuk dicabut. Ini bertujuan untuk memberikan ruang yang mencukupi supaya gigi lain dapat disusun dengan lebih sekata dan teratur.
Jenis Rawatan Cabut Gigi
Cabut gigi boleh dilakukan dalam dua kaedah utama, bergantung pada keadaan gigi dan tahap kesukaran prosedur. Berikut adalah jenis rawatan cabut gigi yang biasa dilakukan di klinik pergigian:
Cabut gigi mudah
Cabut gigi mudah dilakukan apabila gigi sudah kelihatan sepenuhnya di atas gusi dan tidak mempunyai sebarang komplikasi seperti akar bengkok atau terbenam dalam tulang rahang. Proses ini biasanya cepat dan tidak memerlukan pembedahan.
- Doktor akan memberikan suntikan bius setempat bagi mengurangkan rasa sakit.
- Kemudian, forsep khas digunakan untuk menggoyangkan dan menarik gigi keluar dari soketnya dengan berhati-hati.
- Selepas gigi dicabut, doktor akan membersihkan kawasan tersebut dan memberikan arahan penjagaan selepas prosedur untuk mempercepatkan pemulihan.
Cabut gigi pembedahan
Cabut gigi secara pembedahan dilakukan jika gigi terbenam dalam gusi atau tulang rahang, seperti kes gigi bongsu yang tidak tumbuh dengan sempurna atau gigi yang patah di bawah garis gusi. Prosedur ini lebih kompleks dan memerlukan kemahiran untuk mengeluarkan gigi.
- Doktor akan memberikan bius setempat atau bius penuh (bergantung pada tahap kesukaran).
- Sayatan kecil dibuat pada gusi bagi mendedahkan gigi dan tulang sekelilingnya.
- Dalam beberapa kes, doktor mungkin perlu memecahkan gigi kepada bahagian lebih kecil untuk memudahkan proses pencabutan.
- Selepas gigi berjaya dikeluarkan, kawasan tersebut akan dibersihkan, dan jahitan mungkin diperlukan untuk mempercepatkan penyembuhan.
Pembedahan ini biasanya mengambil masa lebih lama berbanding cabut gigi biasa, dan pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan selepas prosedur. Doktor akan memberikan ubat tahan sakit dan arahan penjagaan selepas rawatan bagi memastikan pemulihan berjalan lancar.
Harga Cabut Gigi di Klinik Swasta
Kos cabut gigi di klinik swasta tidak tetap dan boleh berbeza mengikut beberapa faktor, termasuk jenis gigi yang dicabut, tahap kesukaran prosedur, lokasi klinik, serta kepakaran doktor gigi. Berikut adalah anggaran harga bagi cabut gigi mengikut jenisnya:
Harga cabut gigi geraham
Anggaran harga: RM250 – RM800
Gigi geraham, terutama geraham bongsu, sering kali lebih sukar untuk dicabut kerana kedudukannya yang berada di bahagian belakang mulut serta akarnya yang besar dan kukuh. Dalam beberapa kes, prosedur pembedahan diperlukan jika gigi geraham terbenam atau tumbuh secara tidak normal.
Harga cabut gigi kacip
Anggaran harga: RM100 – RM300
Gigi kacip terletak di bahagian hadapan mulut dan biasanya lebih mudah dicabut kerana akarnya yang lebih pendek berbanding gigi geraham. Prosedur ini biasanya lebih cepat dan tidak memerlukan pembedahan.
Harga cabut gigi taring
Anggaran harga: RM200 – RM500
Gigi taring mempunyai akar yang lebih panjang dan dalam, menjadikannya lebih sukar untuk dicabut berbanding gigi kacip. Oleh itu, kosnya boleh jadi lebih tinggi, terutama jika gigi tersebut terbenam atau memerlukan pembedahan kecil untuk dikeluarkan.
Faktor Mempengaruhi Harga Cabut Gigi
Kos cabut gigi di klinik swasta tidak tetap dan boleh berbeza bergantung pada beberapa faktor. Berikut adalah aspek utama yang mempengaruhi harga rawatan ini:
Prosedur yang rumit
Semakin rumit prosedur pencabutan gigi, semakin tinggi kosnya. Jika gigi mudah dicabut tanpa pembedahan, harganya lebih rendah. Namun, jika gigi perlu dicabut secara pembedahan, seperti dalam kes gigi terbenam atau akar yang dalam, caj tambahan akan dikenakan.
Jenis gigi
Jenis gigi yang perlu dicabut turut mempengaruhi harga.
- Gigi geraham bongsu: Kosnya lebih mahal kerana kedudukannya di bahagian belakang mulut yang sukar diakses.
- Gigi taring: Mempunyai akar yang lebih panjang dan dalam, menjadikan pencabutannya lebih mencabar.
- Gigi kacip: Biasanya lebih murah kerana terletak di bahagian depan dan mudah dicabut.
Penggunaan anestesia
Jenis anestesia yang digunakan juga mempengaruhi kos rawatan.
- Anestesia tempatan: Lebih murah kerana hanya kawasan sekitar gigi yang dicabut akan dibius.
- Anestesia penuh: Digunakan dalam prosedur lebih kompleks, seperti cabut gigi bongsu secara pembedahan, yang melibatkan kos lebih tinggi.
X-ray
Sebelum mencabut gigi, doktor mungkin perlu melakukan X-ray untuk menilai keadaan gigi dan tulang rahang. Kos tambahan mungkin dikenakan bergantung pada jenis dan bilangan X-ray yang diperlukan.
Mengikut klinik gigi
Setiap klinik mempunyai kadar caj yang berbeza bergantung kepada lokasi, reputasi doktor gigi, dan kemudahan yang disediakan.
Cabut Gigi di Tiara Dental
Jika anda mencari klinik pergigian swasta yang menawarkan harga cabut gigi berpatutan dengan perkhidmatan profesional, Tiara Dental adalah pilihan terbaik.
Dengan doktor gigi yang berpengalaman dalam prosedur cabut gigi mudah dan pembedahan, anda boleh mendapatkan rawatan dengan selesa dan selamat. Untuk maklumat lanjut mengenai harga cabut gigi dan tempahan janji temu, hubungi Tiara Dental hari ini!
One Response