Apa Itu Rawatan Akar Gigi
Rawatan akar gigi adalah prosedur pergigian yang dilakukan untuk merawat masalah pada akar gigi yang terjejas akibat jangkitan atau kerosakan teruk. Rawatan ini melibatkan pengeluaran saraf gigi dan pembersihan saluran akar bagi menghilangkan bakteria serta tisu yang telah mati. Setelah itu, bahagian dalam gigi akan ditutup untuk mencegah jangkitan berulang.
Prosedur ini biasanya dilakukan untuk menyelamatkan gigi yang sebelum ini mungkin perlu dicabut. Dengan rawatan yang betul, gigi yang dirawat boleh kekal berfungsi seperti biasa tanpa menyebabkan kesakitan. Rawatan akar gigi juga membantu mengelakkan masalah lebih serius pada masa hadapan seperti jangkitan pada gusi.
Tanda Perlu Rawatan Akar Gigi
Sakit Gusi atau Gusi Bengkak
Gusi yang membengkak atau terasa sakit boleh menjadi tanda jangkitan pada saluran akar gigi. Keadaan ini berlaku apabila bakteria menyerang pulpa gigi, menyebabkan keradangan dan pembentukan nanah. Jika tidak dirawat, jangkitan boleh merebak ke tisu sekeliling dan membawa kepada masalah yang lebih serius.
Rasa Sakit Ketika Mengunyah
Jika anda mengalami sakit gigi semasa mengunyah atau menggigit makanan, ini mungkin petanda bahawa saraf gigi sedang meradang atau terdapat kerosakan pada akar gigi. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh karies gigi yang dalam atau jangkitan pada pulpa gigi, yang memerlukan rawatan akar gigi untuk mengelakkan kehilangan gigi.
Rasa sakit yang berterusan
Kesakitan yang berpanjangan dan berdenyut tanpa sebab yang jelas mungkin menunjukkan bahawa saraf gigi telah rosak atau mati akibat jangkitan. Jika rasa sakit ini tidak reda walaupun selepas mengambil ubat tahan sakit, anda mungkin memerlukan rawatan akar gigi bagi mengeluarkan tisu yang dijangkiti dan mencegah komplikasi pada masa akan datang.
Perubahan warna gigi
Gigi yang bertukar warna menjadi lebih gelap, kelabu, atau kehitaman boleh menjadi tanda kematian saraf gigi akibat jangkitan atau trauma. Perubahan warna ini berlaku apabila pulpa gigi mati, dan jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan jangkitan pada akar gigi.
Gigi bergoyang
Jangkitan yang tidak dirawat boleh melemahkan sokongan tulang di sekitar gigi, menyebabkan gigi menjadi longgar. Ini boleh terjadi apabila bakteria dalam saluran akar merebak dan merosakkan tisu serta tulang yang menyokong gigi. Dalam kes ini, rawatan akar gigi mungkin diperlukan untuk menyelamatkan gigi dan mencegah kehilangan gigi secara kekal.
Sensitif kepada suhu panas dan sejuk
Jika anda mengalami rasa nyilu atau sakit tajam setiap kali minum minuman panas atau sejuk, ini boleh menjadi tanda kerosakan atau jangkitan pada akar gigi. Keadan ini biasanya berlaku apabila lapisan enamel gigi menipis, mendedahkan saraf gigi kepada rangsangan suhu.
Jika anda mengalami simptom-simptom seperti di atas, disarankan agar anda segera berjumpa doktor bagi memastikan masalah gigi yang anda hadapi dan mendapatkan rawatan lanjut secepatnya.
Kesan Jika Tidak Membuat Rawatan Akar Gigi
Rasa sakit berpanjangan
Kesakitan akibat jangkitan pada saluran akar gigi boleh menjadi semakin teruk dan berdenyut sehingga mengganggu aktiviti harian seperti makan, bercakap, dan tidur. Jika tidak dirawat, rasa sakit ini boleh menjadi kronik dan memerlukan rawatan yang lebih kompleks.
Jangkitan atau nanah pada gigi
Bakteria dalam saluran akar yang tidak dikeluarkan boleh menyebabkan jangkitan serius sehingga terbentuknya nanah (abses gigi). Nanah ini boleh merebak ke gusi, tulang rahang, dan tisu sekeliling, bahkan dalam kes yang lebih serius, boleh membawa kepada jangkitan sistemik yang menjejaskan kesihatan secara keseluruhan.
Gigi terpaksa dicabut
Tanpa rawatan akar gigi, kerosakan pada saraf dan pulpa gigi akan menjadi lebih teruk, menyebabkan gigi tidak dapat diselamatkan. Akibatnya, gigi perlu dicabut, yang boleh menjejaskan fungsi gigitan, estetika senyuman, dan bahkan menyebabkan perubahan pada struktur rahang dalam jangka masa panjang.
Untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk terjadi, rawatan akar gigi adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan gigi yang dijangkiti.
Kenapa Perlu Buat Rawatan Akar Gigi?
Jaga Fungsi Gigitan dan Rahang
Rawatan akar gigi membantu menyelamatkan struktur gigi asal, memastikan anda masih boleh mengunyah dengan elok dan selesa. Jika gigi yang rosak dibiarkan tanpa rawatan atau dicabut tanpa penggantian, ia boleh menjejaskan fungsi gigitan serta menyebabkan gigi lain bergeser dari kedudukan asal.
Elak Kehilangan Tulang
Apabila gigi dicabut tanpa penggantian yang sesuai, tulang rahang di kawasan tersebut boleh mengecut dan merosot akibat ketiadaan rangsangan dari akar gigi. Lama-kelamaan, ini boleh mengubah struktur wajah, menyebabkan wajah kelihatan cengkung dan tua sebelum waktunya. Rawatan akar gigi membantu mengelakkan masalah ini dengan mengekalkan gigi asli selama mungkin.
Kurang invasif berbanding cabut
Berbanding dengan cabutan gigi, rawatan akar gigi adalah prosedur yang kurang menyakitkan dan lebih selamat untuk jangka masa panjang. Ia menyelamatkan anda daripada rawatan penggantian gigi seperti implan, jambatan, atau gigi palsu, yang boleh jadi lebih mahal dan memerlukan rawatan susulan.
Cegah penyebaran penyakit ke gigi lain
Jika jangkitan pada saluran akar gigi tidak dirawat, bakteria boleh merebak ke gigi bersebelahan, menyebabkan lebih banyak masalah seperti abses gigi atau jangkitan gusi. Rawatan akar gigi menghentikan jangkitan ini sebelum ia menjadi lebih serius, sekali gus melindungi kesihatan gigi anda secara keseluruhan.
Prosedur Rawatan Akar Gigi
Rawatan akar gigi dilakukan secara berperingkat dan biasanya memerlukan satu hingga beberapa sesi temu janji, bergantung kepada tahap kerosakan gigi. Prosedur ini bertujuan untuk membuang tisu pulpa yang rosak, membersihkan saluran akar, serta menutup gigi bagi mengelakkan jangkitan berulang.
1. Diagnostik dan Penilaian
Doktor gigi akan melakukan pemeriksaan klinikal dan mengambil X-ray periapikal bagi mengenal pasti bilangan akar gigi serta tahap kerosakan atau jangkitan. Kawasan sekitar gigi akan dibersihkan, dan pesakit akan diberikan anestesia tempatan untuk mengelakkan kesakitan semasa rawatan.
2. Pembukaan Saluran Akar
Doktor gigi akan membuat lubang kecil pada permukaan gigi untuk mendapatkan akses ke dalam saluran akar. Bahagian enamel dan dentin yang rosak akan dibersihkan, dan tisu pulpa yang dijangkiti akan dibuang.
3. Pembersihan dan Pembentukan Saluran Akar
Saluran akar akan dibersihkan menggunakan bahan disinfeksi untuk menghapuskan bakteria dan sisa tisu mati. Doktor gigi akan membentuk kanal akar supaya ia boleh diisi dengan bahan tampalan akar.
Setelah selesai, ubat khas dimasukkan ke dalam kanal akar, dan lubang pada gigi akan ditutup dengan tampalan sementara.
4. Pengisian dan Penutupan Saluran Akar
Pada temu janji seterusnya (biasanya 2-4 minggu kemudian), doktor akan memeriksa sama ada gigi masih mengalami simptom seperti sakit atau bengkak. Jika tiada tanda jangkitan, saluran akar akan diisi dengan bahan tampalan akar khas (Gutta Percha) untuk menghalang bakteria daripada masuk semula.
5. Tampalan Kekal atau Mahkota Gigi
Setelah rawatan akar gigi selesai, gigi akan ditampal secara tetap menggunakan tampalan komposit atau bahan lain yang sesuai. Dalam kes tertentu, doktor gigi mungkin akan membuat mahkota gigi untuk mengembalikan kekuatan dan fungsi gigi.
Jika mahkota diperlukan, doktor akan mengambil acuan gigi pada sesi rawatan sebelumnya, dan pemasangan dilakukan pada temu janji terakhir.
6. Pemulihan dan Penjagaan Selepas Rawatan
Selepas rawatan, pesakit mungkin mengalami sedikit rasa tidak selesa atau nyilu, tetapi ini akan berkurangan dalam beberapa hari.
Doktor gigi akan memberi nasihat penjagaan selepas rawatan, termasuk menjaga kebersihan gigi, mengelakkan makanan keras untuk sementara waktu, serta hadir ke temu janji susulan bagi memastikan gigi pulih sepenuhnya.
Cara Penjagaan Selepas Rawatan Akar Gigi
Ambil makanan yang lembut
Selepas rawatan akar gigi, gigi yang dirawat mungkin masih sensitif dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Oleh itu, elakkan makanan keras, melekit, atau terlalu panas dan sejuk untuk mengurangkan tekanan pada gigi serta mengelakkan risiko tampalan sementara tercabut.
Pastikan kawasan rawatan bersih
Kebersihan mulut sangat penting untuk mengelakkan jangkitan pada gigi yang telah dirawat. Berus gigi dengan teknik yang lembut, gunakan ubat kumur antiseptik, dan pastikan sisa makanan tidak terperangkap di sekitar kawasan rawatan.
Berus dan flos seperti biasa
Teruskan rutin memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida dan menggunakan flos gigi untuk mengelakkan pengumpulan plak yang boleh menyebabkan masalah pergigian lain.
Elak mengunyah bahagian terjejas
Jika gigi yang dirawat masih mempunyai tampalan sementara, elakkan mengunyah makanan keras di bahagian tersebut bagi mengelakkan tampalan terkeluar atau memberi tekanan berlebihan pada gigi. Gunakan bahagian gigi yang sihat untuk mengunyah sehingga rawatan selesai sepenuhnya.
Scaling secara berkala di klinik gigi
Lakukan scaling gigi setiap enam bulan di klinik gigi untuk menghilangkan plak dan karang gigi, sekaligus membantu mengekalkan kesihatan keseluruhan gigi dan gusi selepas rawatan akar gigi.
Dengan penjagaan yang baik, gigi yang telah menjalani rawatan akar boleh bertahan dalam jangka masa panjang tanpa sebarang komplikasi. Jika anda mengalami ketidakselesaan berpanjangan atau tanda jangkitan selepas rawatan, segera berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan lanjut.
Faktor Mempengaruhi Harga Rawatan Akar Gigi
Kedudukan gigi
Gigi geraham biasanya lebih sukar untuk dirawat kerana mempunyai lebih banyak akar dan saluran akar yang kompleks. Oleh itu, rawatan pada gigi geraham cenderung lebih mahal berbanding gigi hadapan yang lebih mudah diakses dan mempunyai struktur yang lebih ringkas.
Bilangan prosedur atau rawatan
Harga rawatan akar gigi bergantung pada bilangan sesi rawatan yang diperlukan. Kes yang lebih rumit, seperti jangkitan yang teruk atau saluran akar yang sukar dibersihkan, mungkin memerlukan lebih daripada dua sesi, sekali gus meningkatkan kos keseluruhan rawatan..
Jenis prosedur
Dalam beberapa kes, rawatan akar gigi mungkin memerlukan prosedur tambahan seperti pembedahan kecil atau penggunaan ubat khas untuk merawat jangkitan yang lebih serius. Kos rawatan juga boleh meningkat jika pesakit memerlukan rawatan susulan bagi memastikan gigi pulih sepenuhnya.
Jenis mahkota
Jika gigi yang dirawat memerlukan mahkota gigi untuk mengembalikan kekuatan dan fungsinya, harga rawatan akan turut dipengaruhi oleh jenis bahan mahkota. Mahkota daripada seramik atau porselin biasanya lebih mahal berbanding mahkota logam atau resin, kerana ia lebih tahan lama dan memberikan rupa yang lebih semula jadi.
Mengikut klinik gigi
Harga rawatan akar gigi juga boleh berbeza mengikut lokasi klinik dan kepakaran doktor gigi. Klinik di kawasan bandar atau klinik swasta biasanya mengenakan harga lebih tinggi berbanding klinik kerajaan atau kawasan luar bandar. Doktor gigi dengan pengalaman dan kepakaran mungkin mengenakan caj yang lebih tinggi berbanding doktor gigi yang kurang berpengalaman.
Kos rawatan akar gigi boleh berbeza-beza bergantung kepada faktor di atas. Sebaiknya, pesakit perlu mendapatkan konsultasi awal di klinik gigi untuk mengetahui anggaran harga berdasarkan keadaan gigi mereka.
Rawatan Akar Gigi di Tiara Dental
Ingin menyelamatkan gigi yang terjejas tanpa perlu mencabutnya? Rawatan akar gigi adalah penyelesaian yang tepat untuk mengatasi jangkitan atau kerosakan pada pulpa gigi. Di Tiara Dental, kami menawarkan perkhidmatan rawatan akar gigi yang profesional untuk memastikan kesihatan mulut anda terjaga.
Anggaran Harga Rawatan Akar Gigi :
- Gigi Kacip: RM600 – RM800
- Gigi Taring: RM600 – RM800
- Gigi Geraham Kecil: RM800 – RM1,000
Harga mungkin berbeza bergantung kepada kerumitan kes dan keperluan rawatan tambahan.
Jangan biarkan masalah gigi mengganggu kualiti hidup anda. Dapatkan rawatan akar gigi di Tiara Dental hari ini dan kembalikan senyuman sihat anda!
4 Responses